Wednesday, July 08, 2009

Usah sertai perhimpunan

Utusan Keluaran 8 Julai 2009

KUALA KRAI 7 Julai - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyeru orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang akan diadakan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di ibu negara esok.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, perhimpunan haram itu tidak wajar dan boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini serta mencemar proses keadilan negara.

Menurutnya, rakyat perlu menghormati undang-undang dan keluhuran perlembagaan dengan tidak menimbulkan suasana yang boleh mencetuskan ketegangan.

"Perlu diingat tidak ada siapa boleh mengatasi undang-undang. Rakyat boleh mengadakan perhimpunan aman atas isu-isu yang tidak ada kaitan dengan perbicaraan mahkamah seperti rasuah dan kemiskinan.

"Mengganggu perbicaraan dan berkempen bahawa orang yang dituduh tidak bersalah adalah menghina mahkamah. Allah telah menjanjikan orang yang tidak bersalah lambat-laun akan mendapat keadilan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

AMK dikatakan merancang untuk menggerakkan 5,000 penyokongnya berkumpul di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur esok sempena perbicaraan kes liwat kedua Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, pihaknya berharap AMK tidak meneruskan hajatnya untuk mengadakan perhimpunan haram tersebut.

"Saya berharap rancangan untuk berhimpun di mahkamah esok tidak perlu diadakan kerana ia membawa lebih banyak keburukan.

"Jika diadakan, mereka boleh dianggap melampau kerana sanggup mengganggu ketenteraman awam semata-mata untuk perjuangan politik peribadi," katanya.

Sementara itu, Ketua Wira Perkasa Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Muhammad Rafii mendesak agar kerajaan mengambil tindakan proaktif agar keselamatan negara tidak digugat daripada perhimpunan haram itu.

Katanya, semua pihak seharusnya memberikan kebebasan kepada mahkamah untuk membuat perbicaraan ke atas kes liwat Anwar terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

"Saiful mesti diberikan keadilan! Beliau sudahpun menyerahkan kes ini untuk diadili mahkamah dan pihak Anwar sepatutnya menghormati keputusan ini dan menyokong pembicaraan dijalankan tanpa ada gangguan.

"Sekiranya Anwar dan penyokongnya di pihak yang benar, mereka tidak seharusnya melatah dan membuat perkara-perkara yang tidak masuk akal seperti mengadakan perhimpunan haram untuk menentang pembicaraan ini," tegas beliau.

Menurut Mohd. Razlan lagi, orang ramai perlu meletakkan kepercayaan kepada badan kehakiman memandangkan kerajaan telah menggubal undang-undang Suruhanjaya Kehakiman dan ia disambut baik oleh pembangkang.

"Tetapi kenapa sekarang AMK tidak mahu meletakkan kepercayaan kepada badan ini apabila kena batang hidung mereka sendiri. Berani kerana benar," tambahnya.

1 comment:

auraputih said...

nampak sangat AMK di pergunakan dan diperbodohkan demi kepentingan peribadi.kalau tidak pun nak membodek lah tu..manalah tahu kalau-kalau dapat jawatan lebih tinggi ker...huhuhuh...

Bermula dengan Surat Kepada KeBawah Duli Tuanku

 DAULAT TUANKU Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah perkenan Ke bawah Duli Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertu...