Sunday, June 14, 2020

Utamakan Rakyat, Bukan Pilihan Raya Umum (PRU) Mengejut




"Kita juga harus ambil maklum akan amanah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Di-Pertuan Agong secara rasmi telah beri perkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai YAB Perdana Menteri untuk mengetuai kerajaan PN. Jadi amanah yang diberi kepada kerajaan PN harus digalas dengan baik berpaksikan kepada pemulihan ekonomi negara, mengembalikan kestabilan politik serta memperkasakan kebajikan rakyat." Razlan Rafii

1. Saya merujuk kepada satu artikel yang dikeluarkan oleh Malaysiakini, yang memetik laporan The Strait Times Singapore bahawa Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan sedang mempertimbangkan bagi mendapatkan mandat untuk kerajaan Pakatan Nasional (PN) pimpinannya dengan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) 'mengejut' paling awal tahun ini. 

2. Saya berpendapat, kerajaan PN tidak perlu mengadakan PRU-15 dalam masa terdekat kerana ianya bukan satu keperluan buat masa ini. Ini kerana, tempoh maksimum penggal Dewan Rakyat Malaysia masih berbaki hampir 2 tahun 6 bulan. Jadi apa yang harus diberi keutamaan sekarang adalah proses pemulihan ekonomi, kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat. 

3. Malah, buat masa kini rakyat Malaysia baru sahaja melepasi satu tempoh getir dan sedang bangkit memulakan semula kehidupan setelah tempoh  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang dek pandemik Covid-19 yang masih melanda telah menyebabkan ekonomi negara terumbang ambing. Ditambah lagi dengan drama Pakatan Harapan (PH) serta pertembungan di antara mereka yang merasakan negara ini hanya ada dua (2) orang sahaja pemimpin yang layak menerajui negara. 

4. Adakah kita lupa sepanjang tempoh 21 bulan pemerintahan PH, apa yang rakyat dengar dan lihat hanya lah ;

i. Negara sedang muflis kerana kerajaan terdahulu, 
ii. Penjualan aset-aset negara kepada kroni dan syarikat luar,
iii. Malaysia terpaksa buat pinjaman bon Samurai dari Jepun,

Yang mana akhirnya pelabur – pelabur asing berasa tidak selesa dan takut untuk kekal melabur di negara kita. 

5. Kita bernasib baik sebelum pandemik Covid-19 menjadi lebih parah dan menjangkiti lebih ramai orang di seluruh negara, kerajaan PN sempat diwujudkan sebaiknya. Pada saat tersebut, rakyat boleh menerima kerajaan PN kerana mereka cuba menyelamatkan rakyat dan tidak bermain politik secara keterlaluan. Sekiranya PH kekal menerajui ketika itu, keadaan dirasakan tidak akan sebaik hari ini dan sudah tentunya akan lebih teruk lagi dari segi ekonomi, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat. Malahan rakyat pula bakal dimarahi berulang kali kerana jumlah mangsa Covid-19 meningkat. 

6. Saya berpendapat desas desus mengenai PRU-15 mengejut ini akan membuatkan pelabur – pelabur merasa kurang selesa dan hilang keyakinan untuk melabur di dalam negara. Mereka akan berpendapat bahawa negara kita masih tidak stabil dari segi politik tidak dan tidak akan mengambil risiko. Akhirnya yang bakal rugi adalah negara serta rakyat dari segi ekonomi dan peluang pekerjaan. 

7. Apakah bentuk jaminan yang boleh ditawarkan sekiranya PRU mengejut diadakan dalam masa terdekat? Adakah ianya akan memberi majoriti besar kepada mana-mana parti bertanding? Mungkin juga keputusannya nanti akan mewujudkan satu situasi di mana tiada ada pemenang yang jelas seperti _'Clear Winner'_ antara PN dan PH atau mana-mana parti. 

8. Situasi yang sama mungkin berulang kembali dan berlarutan seperti hari ini di mana kerajaan Pusat ketika itu perlu mewujudkan kerjasama politik antara parti politik dan meneruskan aktiviti 'jual beli' Wakil Rakyat. Sekali lagi rakyat akan menjadi mangsa dek kerana keputusan PRU terdesak ini. Kita hanya membuang masa mengejar PRU-15 di mana masa dan perbelanjaan yang digunakan itu sepatutnya dimanfaat dengan baik untuk mentadbir negara dan membantu golongan rakyat yang terabai sekian lama sebelum ini. 

9. PN tidak perlu mengikut rentak permainan PH. Saban hari angka sokongan Ahli-Ahli Parlimen bersama PH berubah-ubah. Mereka menyatakan mempunyai majoriti dan memutarkan pelbagai bentuk omokan serta propaganda politik disebabkan mereka sendiri belum pasti apakah bentuk pengakhirannya nanti. Yang berani kekal bersama PN adalah kerana mereka yakin dan mahu menstabilkan kerajaan serta membantu membangunkan ekonomi negara. Namun yang melompat ke PH, kemungkinan merajuk tidak dapat jawatan, terpaksa kerana diugut atau ditawarkan dengan pelbagai bentuk imbuhan di kemudian hari. 

10. Kita juga harus ambil maklum akan amanah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Di-Pertuan Agong secara rasmi telah beri perkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai YAB Perdana Menteri untuk mengetuai kerajaan PN. Jadi amanah yang diberi kepada kerajaan PN harus digalas dengan baik berpaksikan kepada pemulihan ekonomi negara, mengembalikan kestabilan politik serta memperkasakan kebajikan rakyat. 

11. Akhir sekali, saya berpendapat bahawa masa yang ada sekarang harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan PN untuk berkhidmat kepada rakyat. Usah sesekali membuka peluang kepada PH kembali berkuasa kerana telah terbukti sepanjang tempoh mereka berkuasa, mereka melakukan pelbagai kerosakan kepada negara dan mental rakyat Malaysia. 

Terima kasih

DATUK MOHD RAZLAN RAFII
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh

No comments:

Bermula dengan Surat Kepada KeBawah Duli Tuanku

 DAULAT TUANKU Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah perkenan Ke bawah Duli Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertu...