Mohd Razlan Muhammad Rafii
Mohd Razlan Muhammad Rafii
SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia boleh bertindak proaktif menyekat akses laman Youtube daripada dilayari rakyat negara ini kerana menyiarkan klip video kontroversi yang menghina Nabi Muhammad, kata Ketua Pemuda Umno Bahagian Seputeh, Mohd Razlan Muhammad Rafii.
Beliau yang juga Ketua Unit Media Baru Pemuda Umno berkata, tindakan itu perlu diambil kerana pemilik Youtube, Google Inc menyatakan tidak akan mengeluarkan sedutan filem Innocence of Muslims daripada laman web perkongsian video itu.
“Melalui  Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), negara Islam sepatutnya mengeluarkan arahan kepada Youtube untuk membersihkan bahan ini dari database mereka. Sekiranya tidak berbuat demikian, seluruh negara Islam boleh menyekat domain laman sosial daripada memasuki laman sesawang negara-negara Islam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Youtube pernah disekat selama setahun di Pakistan pada 2007 kerana menyiarkan video yang dianggap menyalahi ajaran Islam.
Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Christopher Stevens terbunuh di Benghazi akibat ditembak dalam insiden bangunan Kedutaan AS di negara itu semalam diserang beribu-ribu penduduk yang mengadakan tunjuk perasaan membantah penerbitan sebuah filem yang didakwa Islam.
Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana kita tidak mahu mana-mana pihak dengan sesuka hati menjadi agen kepada pengedaran apa sahaja bahan yang menghina orang Islam, dan percaya agama lain juga tidak mahu agama mereka di hina dan dikeji.