Wednesday, October 10, 2007

Jangan jadikan Aidilfitri karnival perayaan

Oleh Mohd Razlan (Utusan keluaran 9 Oct 2007)

BEBERAPA hari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Segala persiapan semakin rancak untuk menyambut hari lebaran. Apa yang saya kesali, hari lebaran yang sepatutnya kita sambut dalam suasana yang sederhana telah menjadi satu keraian yang keterlaluan.

Memang benar agama menyuruh kita menyambut Hari Raya sebagai tanda kemenangan mengharungi ibadah bulan Ramadan tetapi Islam melarang untuk menyambutnya secara berlebih-lebihan sehinggakan membawa kepada pembaziran.

Di pusat membeli-belah sentiasa sesak dengan pengunjung, kaum ibu sibuk memilih pakaian, langsir dan berbagai-bagai yang baru. Kedai perabot juga mendapat sambutan.

Jika boleh semua perkakasan dalam rumah akan ditukarkan kepada yang serba baru.

Berbelanja berlebihan seperti ini sudah tentunya mengundang pembaziran.

Bagi mereka yang tidak berkemampuan perkara ini akan menjadi beban besar. Ini disebabkan sikap masyarakat kita yang secara tidak langsung memaksa suasana Hari Raya disambut dengan semua serba baru dan ia menjadikan tekanan sehingga ada yang sanggup berhutang. Sedangkan Islam sama sekali tidak menuntut umatnya untuk berhutang bagi membesarkan Hari Raya.

Syarikat katering telah sibuk menerima tempahan untuk rumah terbuka. Memang tidak salah untuk kita menjamu sahabat dan saudara-mara, tetapi janganlah ia menjadi tabiat pembaziran sehingga pahala bersedekah yang kita hajati akan hilang begitu sahaja.

Saya juga menyokong pandangan Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik, Sabtu lalu tentang ketaksuban masyarakat kita menyambut Hari Raya selama sebulan. Memang ia tidak wajar.

Dalam tempoh itulah, ramai yang berlumba-lumba mengadakan rumah terbuka seakan-akan sudah menjadi satu kemestian, ada yang membuka rumah mereka lebih besar daripada kenduri kahwin.

Tetapi jika kita lihat di negara-negara Arab, ia disambut dengan penuh kesederhanaan dan kesedaran. Suasana hanya dirasakan setakat beberapa hari sahaja dan tidaklah sehingga sebulan lamanya. Tidak wujud suasana seakan berpesta atau karnival perayaan yang panjang. Mereka lebih tumpukan kepada produktiviti dan mencari rezeki.

Oleh itu, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang serba sederhana dan penuh ketakwaan haruslah diterap pada diri kita agar kita sama-sama dapat mengubah tradisi pembaziran pada musim lebaran ini.

Dalam keseronokan kita menyambut Hari Raya, ingatkanlah mereka di luar sana yang susah dan menderita, semoga kita semua diberkati menjelang hari yang mulia ini.

– RAZLAN RAFII,

Taman Salak Jaya,

Kuala Lumpur.

No comments:

Bermula dengan Surat Kepada KeBawah Duli Tuanku

 DAULAT TUANKU Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah perkenan Ke bawah Duli Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertu...