Wednesday, April 02, 2008

UMNO Perlu Bangkit Perkasa Agenda Melayu

"Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Taman Salak Jaya, Jawatankuasa Pemuda Cawangan menyampaikan sumbangan kepada Iman Muda Surau Al-Khariah"




Utusan Keluaran 1 April 2008.

TERNYATA orang-orang Melayu sudah alpa dan lupa tentang keistimewaan yang mereka peroleh sebelum merdeka sehingga sekarang. Hak keistimewaan ini dirangka dengan baik untuk melindungi hak pribumi yang bertujuan memberikan imbangan ekonomi di Malaysia.

Di zaman kolonial dahulu, penjajah telah sengaja mengasingkan penempatan Melayu di kampung-kampung, India di estet-estet dan Cina di bandar-bandar.
Orang Cina telah mendapat keistimewaan di bandar-bandar dengan berniaga dan telah menguasai ekonomi.

Justeru, dasar untuk mengimbangi taburan ekonomi telah ditetapkan. Dengan agihan ini, boleh dilihat hasilnya, semua kaum boleh memperoleh dan menikmati taburan ekonomi dengan lebih baik.

Malah ramai orang India yang berjaya sebagai usahawan dan golongan profesional seperti peguam dan doktor. Nisbah golongan profesional itu lebih tinggi berbanding profesional Melayu. Bilangan orang India terkaya juga rasanya mengatasi usahawan Melayu.

Sebelum ini, kita melihat kaum Cina sahaja yang mampu membeli kereta-kereta mewah dan rumah-rumah mewah, tetapi sekarang, kehidupan yang selesa telah dapat dirasai oleh semua kaum di negara ini.

Walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kemudiannya digantikan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) telah banyak membantu memperbaiki imbangan ekonomi antara kaum, tetapi realitinya ramai orang Melayu termasuk di bandar-bandar masih ketinggalan jauh di belakang.

Salah satu contohnya rumah kedai terutama di bandar-bandar besar masih lagi tidak mampu dimiliki oleh orang Melayu. Biarpun dengan harga diskaun tujuh peratus, realitinya usahawan biasa Melayu tidak mempunyai wang yang mencukupi apatah lagi tanpa diskaun seandainya DEB dihapuskan. Dengan tekanan kos kehidupan yang tinggi, ramai orang Melayu telah memilih untuk menyokong pembangkang.

Jurang kita masih jauh jika hendak dibandingkan dengan kaum Cina. Kita masih lagi memerlukan keistimewaan ini terutama dalam ekonomi dan pendidikan.

Semasa semua kaum memperjuangkan agenda pendidikan kaum mereka, orang- orang Melayu pula menafikan perkara ini sebagai sesuatu yang perlu diperjuangkan.

Ini jelas apabila dalam kempen DAP, mereka memperjuangkan hak orang Melayu perlu dikongsi bersama-sama dan pada masa yang sama mereka inginkan sekolah jenis kebangsaan dipertahankan.

Saya percaya, dengan adanya Internet, kita boleh menilai dengan lebih terbuka apakah yang diperjuangkan oleh DAP dan apakah implikasinya kepada orang Melayu khasnya. Untuk kita mengekalkan hak keistimewaan ini, UMNO mesti balik kepada asal. UMNO perlu menggilap idealisme dan sudah tentu memperkasakan agenda Melayu.

Sepanjang empat tahun lepas menyaksikan UMNO semakin longgar cengkaman terhadap orang Melayu.

UMNO juga dilihat tidak begitu menonjol sebagai sebuah gerakan parti dalam membela orang Melayu pada ketika ini. Peranan itu seolah-olah hanya dimainkan oleh kerajaan sedangkan parti-parti komponen lain bertindak seiringan secara ketara. Mereka menggunakan instrumen kerajaan dan pada masa yang sama lebih bersungguh-sungguh menggerakkan usaha parti tanpa berselindung.

Apa pun, konsep BN memberi keadilan kepada semua dengan mengekalkan keistimewaan kepada bumiputera perlu dikekalkan. Jika pelaksanaan semua program kerajaan dan BN dapat berjalan dengan berkesan, saya percaya tidak akan ada kaum yang terpinggir terutama orang Melayu di luar bandar yang masih ramai yang miskin.

Saya juga masih yakin BN akan dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan yang terbaik kepada rakyat pelbagai kaum melalui konsep perkongsian kuasa.

– RAZLAN RAFII
Kuala Lumpur.

No comments:

Bermula dengan Surat Kepada KeBawah Duli Tuanku

 DAULAT TUANKU Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah perkenan Ke bawah Duli Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertu...