Monday, December 22, 2008

Tindakan jika enggan turun harga barang


Berita Harian Keluaran 18 Disember 2008

Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno Seputeh mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar mengambil tindakan terhadap peniaga yang masih gagal menurunkan harga barangan walaupun harga minyak sudah diturunkan sebanyak tujuh kali.

Ketua Pemudanya, Mohd Razlan Muhammad Rafii, berkata walaupun KPDNHEP sudah melaksanakan pelbagai jenis pemantauan namun kebanyakan peniaga tidak mengendahkan arahan serta saranan yang dibuat dalam usaha meringankan beban pengguna ekoran kenaikan harga barang.

“KPDNHEP harus mengambil langkah drastik bagi menyedarkan peniaga bahawa kerajaan memandang serius masalah ini. Peniaga juga harus sedar dalam menghadapi masalah ekonomi global yang tidak menentu, pengguna semakin terbeban kerana banyak peniaga enggan menurunkan harga barangan terutama barang asas walaupun harga bahan api sudah dikurangkan.

“Peniaga juga perlu menyahut saranan kempen turun harga yang banyak dilaksanakan kerajaan kerana ia bukan saja membantu pengguna tapi peniaga juga mungkin boleh menikmati keuntungan kerana ramai pengguna akan membeli barangan yang dijual pada harga yang lebih rendah.

Razlan berkata, pihaknya akan cuba membawa perkara itu pada mesyuarat perhubungan pemuda Umno pusat bagi mencari alternatif untuk mengatasi masalah berkenaan sekali gus membantu meringankan beban rakyat namun persatuan pengguna juga perlu memainkan peranan yang lebih besar serta bekerjasama dalam menghadapi situasi ini.

“Memang diakui bahawa persatuan banyak menjalankan kempen tapi ia hanya tertumpu kepada pengguna saja dan kini mereka perlu membuat desakan yang lebih kuat supaya peniaga menurunkan harga barangan.

“Mereka perlu membuat kempen kesedaran kepada peniaga serta menyampaikan keresahan pengguna ekoran keengganan peniaga menurunkan harga barang. Dalam hal ini, sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing pasti masalah ini dapat diatasi pada kadar segera,” katanya.

1 comment:

noris helmi nordin said...

Saya harap tahun 2009 akan menyaksikan penurunan harga barang-barang keperluan rakyat yang sebenar-benarnya.Terutama bahan makanan diikuti dengan barang-barang yang telah menjadi monopoli sesuatu bangsa sejak berzaman.

Bermula dengan Surat Kepada KeBawah Duli Tuanku

 DAULAT TUANKU Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah perkenan Ke bawah Duli Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertu...